Archive for April, 2009
ASAS PERKIRAAN WAKTU SOLAH
Dari Jabir bin Abdullah r.a. berkata : Telah datang kepada Nabi s.a.w. malaikat Jibril lalu berkata kepadanya, ‘Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Zohor dikala matahari tergelincir. Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah ketika waktu Asar lalu berkata kepadanya, ’Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Asar ketika bayang-bayang setiap sesuatu sama panjang dengannya. Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah ketika waktu Maghrib lalu berkata kepadanya, ’Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Maghrib ketika tenggelam matahari. Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah ketika waktu Isyak lalu berkata kepadanya, ’Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Isyak ketika hilang syafaq. Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah ketika waktu Fajr lalu berkata kepadanya, ’Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Fajr ketika fajar bersinar atau ia berkata ketika fajar menyinsing.
TAQWIM QAMARIY
Dasar perhitungan taqwim ini ialah peredaran bulan mengelilingi bumi. Setiap pusingan mengambil masa selama 29.53059 hari.
Jika dihitung maka 12 bulan qamariy yang bersamaan dengan satu tahun mempunyai 354 hari, 11 hari kurang dari tahun syamsiy. Oleh kerana itu maka tahun qamariy adalah lebih laju dari tahun syamsiy. Sebagai contoh 300 tahun syamsiy bersamaan dengan 309 tahun qamariy. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Kahfi, ayat 25 :
Dan mereka tinggal di dalam gua mereka selama 300 tahun dan (sebahagian) manusia menambah sembilan (tahun kepadanya).
Perbezaan selama sebelas hari menyebabkan tahun qamariy tidak dapat selari dengan perubahan musim kerana musim mengikut tahun syamsiy. Akan tetapi sistem tahun qamariy ini menjadi pilihan bagi hampir kesemua tamadun awal bagi jenis taqwim mereka. Ini adalah kerana sistem kitarannya yang mudah di atur dengan tepat.
