ASAS PERKIRAAN WAKTU SOLAH
Dari Jabir bin Abdullah r.a. berkata : Telah datang kepada Nabi s.a.w. malaikat Jibril lalu berkata kepadanya, ‘Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Zohor dikala matahari tergelincir. Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah ketika waktu Asar lalu berkata kepadanya, ’Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Asar ketika bayang-bayang setiap sesuatu sama panjang dengannya. Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah ketika waktu Maghrib lalu berkata kepadanya, ’Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Maghrib ketika tenggelam matahari. Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah ketika waktu Isyak lalu berkata kepadanya, ’Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Isyak ketika hilang syafaq. Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah ketika waktu Fajr lalu berkata kepadanya, ’Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Fajr ketika fajar bersinar atau ia berkata ketika fajar menyinsing.
Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah keesokan harinya pada waktu Zohor lalu berkata kepadanya, ‘Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Zohor ketika bayang-bayang setiap sesuatu sama panjang dengannya. Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah ketika waktu Asar lalu berkata kepadanya, ’Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Asar ketika bayang-bayang setiap sesuatu dua kali panjang dengannya. Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah ketika waktu Maghrib pada waktu yang sama seperti sebelumnya. Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah ketika waktu Isyak ketika telah pergi separuh malam atau ia berkata sepertiga malam (syak dari rawi) maka Nabi bersolat Isyak. Kemudian Jibril datang lagi kepada Rasulullah ketika langit telah kekuning-kuningan lalu berkata kepadanya, ’Bangunlah dan bersembahyanglah’. Maka Nabi bersolat Fajr. Kemudai berkatalah Jibril, ‘Di antara keuda-dua waktu tersebut adalah waktu solat’. (Diriwayatkan oleh Ahmad, Turmudzi dan An-Nasaa’i)
Dari Abdullah Bin Amr: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda : Waktu Zohor apabila tergelincir matahari sehingga bayang-bayang seseorang sama panjang dengan ketinggiannya selagi belum masuk waktu Asar. Dan waktu Asar selama mana matahari belum kekuningan. Dan waktu solat Maghrib selama mana belum hilang syafaq. Dan waktu solat Isyak sehingga pertengahan malam. Dan waktu solat Subuh dari terbitnya fajr sehingga terbit matahari. Apabila terbit matahari maka janganlah dirikan sembahyang kerana ia terbit diantara dua tanduk syaithan.
2.0 Kriteria Astronomi Waktu Solah
Bersandarkan dalil-dalil di atas dan juga dalil-dalil yang lain maka dirumuskan waktu solah seperti berikut :
2.1 Waktu Zohor
Awal waktunya ditentukan dari waktu tengah hari ketara (apparent) yang di panggil waktu zawal. Kiraan sudut matahari ketika ini adalah paling minimum 0 darjah di kala matahari berada betul-betul di atas kepala, dengan ditambah 1 minit 4 saat atau 0.017 778 jam. Ini adalah supaya kedudukan piring matahari tergelincir sedikit ke sebelah barat dengan melepasi meridian. Lihat rajah:

Sebab ditambah 1 minit 4 saat kepada waktu zawal ialah kerana mengikut perhitungan astronomi, garisan pusat matahari rata-rata ialah 32 minit darjah manakala jejarinya ialah 16 minit darjah. 16 minit darjah bersamaan 1 minit 4 saat.
2.2 Waktu Asar

Awal waktunya adalah ketika bayang-bayang objek lebih sedikit daripada panjang objek. Sila lihat rajah:
2.3 Waktu Maghrib
Awal waktunya adalah ketika terbenamnya matahari dan hilang piringnya sebelah atas dari ufuk. Sudut darjah dari meridian ke pusat matahari ialah 90° 50’ . Sila lihat rajah:

Sebab mengapa ditambah 50 minit ialah kerana jejari matahari adalah 16 minit dan pembiasan (refraction) di ufuk adalah 34 minit.
2.4 Waktu Isyak
Awal waktunya adalah ketika mula hilangnya mega merah di kaki langit sebelah barat ufuk. Sudut darjah dari meridian ke pusat matahari ialah 108° . Sila lihat rajah:

2.5 Waktu Subuh
Awal waktunya adalah ketika mula terbit fajar sadiq di kaki langit sebelah timur ufuk. Sudut darjah dari meridian ke pusat matahari ialah 110 darjah . Sila lihat rajah:

2.6 Waktu Syuruk
Awal waktunya adalah ketika mula terbit matahari di kaki langit sebelah timur ufuk. Sudut darjah dari meridian ke pusat matahari ialah 90° 50’ . Sila lihat rajah:

2.7 Waktu Dhuha
Awal waktunya adalah lebih kurang matahari setinggi tombak. Sudut darjah dari meridian ke pusat matahari ialah 85° 18’ mengikut sebahagian ulama. Sila lihat rajah:

